KECUAIAN membawa padah! Angkara tidak menarik brek tangan dengan kemas, sebuah lori muatan besi merempuh kereta jenis Honda City sehingga terbalik. Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah stesen minyak di Manjalara, Kepong, Selangor pada Rabu. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata kemalangan yang membabitkan dua kenderaan itu berlaku jam 10.30 pagi. Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika lori terbabit dihentikan di salah satu pam minyak untuk mengisi bahan api. “Pemandu lori yang juga lelaki tempatan berusia 52 tahun meninggalkan kendaraannya untuk membuat pembayaran di kaunter. “Dalam masa yang sama, lori tersebut bergerak secara mengundur ke belakang lalu melanggar kereta jenis Honda City yang berhenti di simpang jalan stesen minyak untuk memasuki jalan utama,” katanya dalam satu kenyataan. Menurut Sarifudin, kemalangan tersebut tidak mengakibatkan sebarang kecederaan terhadap kedua-dua pemandu dan orang awam. “Kes diklasifikasikan di bawah Rule 14(1) LN 165/59 (Tidak tarik brek tangan dengan kemas),” ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube