suria

Penyebaran gambar bogel punca kejadian bunuh di Kampung Sungai Choh

Pasukan polis menggali mayat yang ditanam di belakang rumah di Kampung Sungai Choh. -Gambar PDRM

PENYEBARAN gambar bogel menjadi punca seorang lelaki dibunuh, yang mayatnya ditemukan ditanam di kawasan belukar di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Choh, Rawang Selangor, pada 23 Disember lalu.

Difahamkan salah seorang suspek berasa tidak puas hati kerana mangsa menyebarkan gambar rakannya tanpa kebenaran.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, hasil siasatan itu, polis menahan lapan suspek terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita, berusia antara 19 sehingga 46 tahun.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama 13 hari mulai 24 Disember lalu hingga esok bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Selangor dan sudah mendapat arahan tuduh ke atas enam suspek yang mana dua dituduh mengikut Seksyen 201 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan iaitu kesalahan melupuskan barang bukti.

"Lima orang suspek dituduh mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama iaitu kesalahan bunuh," katanya dalam kenyataan.

Noor Ariffin berkata, dua suspek lain dibebaskan dan mereka dijadikan saksi pendakwaan.

"Kesemua suspek akan dituduh di mahkamah Selayang pada hari ini (Khamis) di mana motif kejadian adalah tidak puas hati berkaitan penyebaran gambar bogel rakan suspek oleh mangsa.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga berjaya menangkap suspek," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain