suria

“Akhirnya, kerana gula semut bersatu” - Kerani hargai bantuan netizen, lega kes Perodua Bezza selesai

Nagakanni berkata Perodua bersetuju untuk membeli semula keretanya dengan harga penuh.

KISAH mengenai kereta Perodua Bezza yang rosak selepas lapan jam dibeli kecoh diperkatakan netizen sejak Selasa.

Dalam perkembangan terbaharu, pemilik kereta itu, Nagakanni Subramaniam pada Jumaat meluahkan rasa gembira apabila kes berkenaan akhirnya menemui titik noktah.

"Perodua akhirnya setuju untuk beli semula kereta saya dengan harga penuh. Dengan keputusan ini, saya tak perlu lagi bayar bulan-bulan untuk kereta lama.

Kereta milik Nagakanni rosak pada hari yang sama ia dibeli.

Kereta milik Nagakanni rosak pada hari yang sama ia dibeli.

"Semua bayaran sebelum ni pun saya akan dapat semula pemulangan wang. Perodua juga memberi tawaran untuk saya beli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau untuk saya menolak tawaran ni dan beli kereta lain.

"Saya perlu buat keputusan ni dalam tujuh hari. Terima kasih Perodua atas keputusan ini," ujarnya.

Nagakanni berkongsi tentang hal itu menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Saya terhutang budi dengan anda. Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut ni.

NAGAKANNI SUBRAMANIAM

Dalam hantaran sama, Nagakanni turut menzahirkan ucapan penghargaan buat orang ramai yang banyak memberi sokongan sehingga kes itu tular dan mendapat perhatian pihak sewajarnya.

"Yang paling penting, terima kasih kepada semua yang membantu saya menuntut hak ini. Saya terhutang budi dengan anda. Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut ni.

"Tapi saya belajar sesuatu. Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu," ujar Nagakanni lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis lincah pulas stereng Iswara Aeroback, tak malu pandu kereta lama... Netizen tegur bunyi enjin macam ‘kereta perang’

ARTIKEL BERKAITAN: Takut kemalangan, pemuda hati kering tak bagi sahabat pinjam kereta... Lebih rela beri duit

Di ruangan komen, netizen daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama turut mengucapkan tahniah atas keputusan terbaharu itu dan berharap kes sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.

"Memang nak kena viral dulu, baru jalan kerja. Tahniah semua.

"Akhirnya selepas tiga hari viral boleh selesai.

"Kuasa viral. Terima kasih rakyat Malaysia. Tahniah kak Nagakanni. Kebenaran pasti menang.

"Kemenangan kepada rakyat marhaen," tulis beberapa netizen.

Untuk rekod, Nagakanni membeli kereta itu dari sebuah pusat jualan kenderaan di Segamat pada 17 Oktober tahun lalu.

Kes Nagakanni tular sejak Selasa sehingga mendapat perhatian Perodua.

Kes Nagakanni tular sejak Selasa sehingga mendapat perhatian Perodua.

Kereta yang dibeli pada pukul 11 pagi itu bagaimanapun gagal dihidupkan enjinnya kira-kira pukul 7.40 malam, hari yang sama.

Sejak dibeli, Nagakanni berkata dia terpaksa membayar pinjaman bulanan sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu tersadai di pusat servis.

Pada 9 November, seorang individu dari ibu pejabat Perodua menghubungi Nagakanni dan memaklumkan siasatan awal mendapati enjin kereta itu rosak disebabkan kehadiran benda asing seperti gula.

Bagaimanapun, Nagakanni berkata dia tidak pernah membawa sebarang makanan atau gula dalam tempoh lapan jam selepas menerima kereta itu apatah lagi mengusik bahagian enjin kenderaannya.

Akhirnya Nagakanni membuat pendedahan tentang kes itu di Facebook pada Selasa, 2 Januari sehingga ia tular dalam kalangan rakyat Malaysia dan paling penting turut mendapat perhatian Perodua.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain