TIGA lelaki ditahan berikutan penemuan rangka tulang wanita dipercayai Mira Sharmila Samsusah, ibu tunggal yang dilaporkan hilang lebih sebulan lalu. Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata ketiga-tiga suspek berusia 24 hingga 39 tahun itu direman dari 20 hingga 27 Jan. “Bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail di Johor Baru pagi ini. “Sampel patologi dari hospital telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk menjalankan penjujukan DNA bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: Rangka manusia: Kakak harap bukan Bella... Ibu berat hati, mahu keadilan sewajarnya Seorang lelaki berusia 24 tahun, dipercayai teman lelaki Bella, adalah antara tiga orang yang ditahan berhubung kes itu. Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Polis telah menemui tulang rangka seorang wanita selepas suspek utama kes itu membawa polis ke lokasi mayat manusia ditemui kira-kira pukul 2 petang Jumaat. Ketua Polis Johor Comm Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka manusia yang tidak lengkap itu ditemui dengan beberapa pakaian berselerak di sekitar kawasan itu. "Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk kita mengesahkan mayat yang ditemui adalah benar-benar milik Bella. Kita perlu menunggu analisis DNA. Rekod pergigian juga akan digunakan," katanya. Kamarul Zaman berkata bahawa ia mungkin mengambil masa antara seminggu dan sebulan untuk keputusan ujian. Kes itu sebelum ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 365 Akta sama kerana menculik. Sebelum ini, ibu tunggal kepada dua anak itu dilaporkan hilang selepas tidak dapat dihubungi pada 14 Disember. Ahli keluarganya membuat dua laporan polis tahun lalu pada 16 dan 18 Disember. Bella dikatakan berada di dalam kereta teman lelakinya pada pukul 11.50 malam dan memakai pakaian batik untuk pergi ke kedai dobi berhampiran sebelum dia dilaporkan hilang. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube