DUA pekerja syarikat penyelenggaraan jalan digemparkan dengan penemuan mayat dalam longkang sedalam satu meter, pada pagi Ahad. Mayat seorang lelaki berpakaian lengkap itu ditemukan dalam keadaan tertiarap sewaktu saksi melakukan kerja pemotongan rumput di jalan dekat Kampung Seribong, Kota Bharu, Kelantan, kira-kira pukul 11.30 pagi. Pekerja itu, Muhamad Musaha, 35, yang menemukan jasad lelaki itu berkata, dia segera memanggil rakannya yang berada tidak jauh dari kawasan tersebut. "Kami memerhatikannya kerana menyangka dia hanya pengsan, namun langsung tidak bergerak sebelum kami segera menghubungi pihak berkuasa. "Mayat itu tidak memakai kasut. Kedua-dua kaki dan tangannya kekuningan serta mengecut," katanya. Susulan penemuan itu, Muhamad berkata, mereka tidak meneruskan kerja kerana masih terkejut berikutan terbayang-bayang keadaan mayat mangsa. "Sepanjang kerja lebih setahun, ini kali pertama berhadapan situasi sebegini. Majikan juga sudah diberitahu malah kami dibenarkan pulang lebih awal," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat lelaki itu. Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HTPZ II) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti identiti. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube