suria

Pendatang asing lintas lebuh raya maut dilanggar trak pikap

Seorang tahanan yang melarikan diri maut dalam kemalangan pada Ahad malam.

SEORANG lagi tahanan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Bidor meninggal dunia dalam kemalangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.20 malam Ahad berhubung kejadian di KM332.5 Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) dekat Tapah.

Katanya, laporan awal yang diterima menyatakan kemalangan itu melibatkan sebuah trak pikap dan seorang pejalan kaki.

“Mangsa cedera di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat dihantar ke bahagian forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan pegawai Imigresen pergi ke hospital mengesahkan mendiang adalah salah seorang yang melarikan diri,” katanya pada Isnin.

Mohd Yusri menggesa mana-mana saksi tampil dan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor P. Prathiparaj di talian 014-617 8095.

Untuk rekod, seramai 131 tahanan Rohingya dan Myanmar melarikan diri dari pusat itu pada Jumaat selepas tercetusnya rusuhan.

Sebelum ini seorang maut dalam kemalangan di KM335 NSE.

Seramai 54 tahanan ditangkap semula setakat ini dengan usaha untuk membawa masuk baki 75 lagi masih diteruskan.

Tambahnya, kira-kira pukul 9.45 malam Ahad, polis menahan seorang daripada warga Rohingya itu di Felcra Jalan Kachu di Tapah.

Dua lagi pelarian ditahan pada 3.35 pagi Isnin, seorang di sepanjang KM327 NSE berhampiran Tapah, dan seorang lagi di Batu 2, Jalan Pahang di Tapah.

Tahanan yang melarikan diri terdiri daripada 115 Rohingya dan 16 warga Myanmar, kesemuanya lelaki. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain