suria

Tiba-tiba dapat sijil nikah, Cleopatra nafi pernah kahwin Bakri Zinin

Sijil nikah Thailand yang diterima menyatakan Cleopatra berkahwin dengan Bakri Zinin.

PEMPENGARUH media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin meluahkan kehairanan apabila menerima sijil pernikahan dari Thailand tanpa 'menghadirinya'.

Malah dia diakatakan berkahwin dengan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin pada tahun lalu.

Lebih dikenali sebagai Cleopatra, wanita berusia 30 tahun ini memfailkan permohonan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada Isnin mengenai status 'pernikahan' dan sijil nikah yang diperolehnya.

Ia dilakukan bagi menjernihkan status dirinya yang tidak pernah berkahwin dengan Mohd Bakri selain mahu siasatan dilakukan mengenai sijil nikah palsu itu.

"Saya berharap dapat selesaikan (isu) ini secepatnya.

"Saya belum buat laporan polis, saya cuba nak elak (buat laporan polis) kerana tidak mahu menjatuhkan reputasi sesiapa," katanya selepas prosiding sebutan kes dalam kamar di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat.

Bagaimanapun dalam prosiding itu, Mohd Bakri, 70, selaku responden tidak hadir kerana mempunyai penyakit parkinson dan kanser prostat.

Terdahulu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, anak guamnya tidak pernah berkahwin dengan Mohd Bakri di negara jiran menerusi fizikal atau aplikasi Zoom.

"Anak guam saya tidak pernah ke Thailand berdasarkan tarikh dinyatakan dalam sijil nikah palsu itu.

"Kita sudah pun eksibit pasport anak guam yang jelas menunjukkan tiada pergerakan keluar dan masuk ke negara seberang pada tarikh berkenaan," katanya.

Ditanya bagaimana sijil nikah itu diperoleh anak guamnya, Akberdin berkata, kes dibawa ke mahkamah selepas anak guamnya merujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan agensi agama itu kemudian mengesahkan dokumen itu adalah palsu.

"Anak guam saya menerima satu sijil nikah dari Thailand diberikan kepadanya dan neneknya dipercayai daripada pihak responden pada tahun lalu.

"Bagaimanapun, dalam afidavit jawapan, pihak responden (Mohd Bakri) tidak mengaku dan kita tunggu apa yang diputuskan mahkamah nanti," katanya.

Menurutnya, mahkamah akan membuat keputusan berpandukan siasatan Jawi walaupun jelas sijil nikah itu palsu.

Sementara itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd Bakri ketika ditemui turut mengesahkan perkara sama.

"Pihak kami juga sudah meneliti segala permohonan itu dan boleh kami katakan pernikahan antara pemohon dan responden tidak wujud," katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Wan Mohd Najib kemudian menetapkan 22 April ini bagi sebutan semula kes dan pihak-pihak berhujah berhubung permohonan status perkahwinan itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain