suria

Lelaki dikhuatiri lemas di pantai, operasi SAR disambung pagi ini... Isteri minta maaf gagal selamatkan suami

Isteri mangsa, Nora Elina (dua, kiri) tidak dapat menahan kesedihan selepas suaminya dikhuatiri lemas. -Gambar Foto Bernama

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, akan disambung pada Isnin.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, operasi mencari Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, ditangguhkan pada 7 petang Ahad berikutan ombak bergelora.

Menurutnya, pencarian akan bersambung semula pada pukul 7 pagi Isnin.

"Dia dikhuatiri lemas ketika berenang di pantai selepas datang untuk beriadah bersama keluarga sempena cuti sekolah.

"Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) telah diaktifkan pada pukul 12.15 tengah (Ahad) oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad malam.

Tiga aset iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah diatur gerak bagi melakukan pencarian di lokasi tersebut.

Sektor pencarian bertumpu kepada jarak 1 batu nautika radius dari kawasan mangsa disyaki hilang.

Sementara itu, isteri mangsa, Nora Elina Abdul Khalil memberitahu, dia segera mencampakkan pelampung ke arah suaminya yang dilihat tenggelam dihanyutkan ombak.

"Saya cuba mencampakkan pelampung ke arah Zulkarnain dan saya berenang ke arahnya untuk menyelamatkannya.

"Ketika berenang ke arahnya, saya turut dihanyutkan arus sebelum berpatah balik ke pantai kerana bimbang turut ditenggelamkan ombak," katanya pada Ahad.

"Maafkan saya bang, saya sudah berenang untuk selamatkan," tambah Nora Elina.

Nora Elina dan Zulkarnain serta dua anak perempuannya berusia antara 9 hingga 11 tahun bercuti ke Terengganu dan mendaftar masuk di sebuah hotel di Batu Burok, Jumaat lalu dan dijangka mendaftar keluar pada Isnin.

Jelasnya, sebelum kejadian suaminya sedang bermain ombak di tepi pantai, manakala dia dan dua anak bermain pasir di pantai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain