suria

Tun M kongsi foto sedang baca surat khabar, kesihatan kritikal hanya khabar angin

Dr Mahathir berkongsi foto terkini yang berada di IJN.

BEKAS Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berada dalam keadaan sedar dan bukan dalam kondisi kritikal.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu ciapan di X oleh pembantu yang rapat dengannya menerusi hantaran pada Selasa.

Dalam hantaran sama, Dr Mahathir, 98, juga dikatakan sedang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur sejak 26 Januari lalu.

"Tun Dr Mahathir bin Mohamad kini sedang menjalani rawatan di IJN, sejak 26 Januari lalu.

"Beliau masih lagi dalam proses pemulihan," ujarnya.

Dalam hantaran sama, turut dimuat naik dua keping foto menunjukkan keadaan baik Dr Mahathir sedang membaca surat khabar di IJN.

Sebelum ini, tular posting palsu berkaitan keadaan kesihatan bekas perdana menteri menyatakan beliau sedang kritikal sehingga timbul pelbagai spekulasi.

Pada 13 Februari lalu dilaporkan Dr Mahathir sedang berehat selepas mendapatkan rawatan di IJN kerana jangkitan setelah ditahan di wad pada 26 Januari.

Keadaan kesihatannya itu didedahkan semasa prosiding kes saman fitnahnya terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu.

Peguam Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi, dalam permohonan untuk menangguhkan prosiding, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dimasukkan ke IJN.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain