suria

Bakar kereta polis bantuan, penghantar makanan mengaku tak bersalah

Pemuda ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan khianat. -Foto media mosial

SEORANG pemuda berusia 26 tahun berdepan dua pertuduhan melakukan khianat kerana membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) minggu lalu.

Tertuduh, Hasif Syazani Zulkifle yang dihadapkan ke dua mahkamah di Petaling Jaya pada Isnin bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh dan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, rider penghantar makanan itu didkawa melakukan khianat api kerana membakar Proton Preve putih milik polis bantuan Prasarana di Stesen MRT Mutiara Damansara, pukul 1.17 pagi, 15 Februari.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakar kereta polis demi kejar ‘view’ di TikTok

Di Mahkamah Majistret pula, pekerja p-hailing itu didakwa melakukan khianat dengan menconteng dinding di stesen berkenaan pada pukul 1.10 pagi, juga pada tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Penghantar makanan itu dibenarkan diikat jamin RM9,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac ini.

mStar pada Khamis melaporkan seorang pemuda bertindak membakar kereta polis bantuan demi mendapatkan rating tinggi di TikTok.

Dalam laporan itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perkara itu merupakan motif di sebalik tindakan suspek.

Video perbuatan itu yang berdurasi lima saat disiarkan di TikTok dengan kapsyen 'puas hati dapat bakar kereta polis'.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain