suria

“Saya hanya guru pelatih masa itu” - Tular foto lelaki baring tayang badan! Pemuda nafi bukan dirinya, sekadar kongsi di media sosial

Seorang guru memberi penjelasan berhubung dakwaan fitnah ke atas dirinya.

KECOH di media sosial mengenai seorang lelaki yang didakwa berkongsi gambar tidak senonoh dirinya, kelihatan seolah-olah sedang berbogel di laman sosial.

Susulan kekecohan itu, pemuda berkenaan tampil memberi penjelasan berhubung foto tular itu yang dikaitkan dengan dirinya.

Dia berkata hanya satu daripada dua gambar yang tersebar itu adalah dirinya yang mana dua foto tersebut didakwa diambil dari laman sosialnya sebelum dikongsi oleh pihak lain.

"Post tu ada dua gambar iaitu gambar pertama yang menunjukkan seorang lelaki tanpa pakaian dengan bahagian bawah badan ditutup dengan satu emoji.

"Gambar pertama tersebut bukanlah gambar kepunyaan saya sendiri! Saya hanya mendapatkannya di media sosial dan 'post' di akaun TikTok saya sahaja

"Gambar pertama tu telah diletak simbol (emoji), seolah-olah saya kelihatan berbogel, padahal orang dalam gambar asalnya pakai seluar sebenarnya," tulisnya di laman Instagram.

Penafian yang dibuat berhubung gambar-gambar yang tular.

Mengulas lanjut, pemuda berkenaan berkata, gambar kedua yang menunjukkan lelaki berpakaian lengkap adalah dirinya yang merupakan seorang guru pelatih pada masa itu.

"Untuk makluman, saya hanya guru pelatih dan bukanlah guru tetap pada masa itu! Memang tidak dinafikan bahawa gambar-gambar tersebut diperolehi daripada akaun TikTok saya sendiri," katanya.

Selain mengundang fitnah, pemuda tersebut kecewa dengan penyiaran gambarnya yang didakwa memburukkan dan menjatuhkan imejnya.

"Buat orang fikir saya seorang guru yang tak bertanggungjawab yang ambil gambar tidak senonoh selepas tu dedah di media sosial.

"Saya tidak faham apa motif sebenar dia berbuat demikian. Sejak posting berbaur fitnah itu disebarkan, saya telah menerima pelbagai kecaman dan ugutan yang tidak putus-putus," ujarnya.

Malah, dia turut mendakwa maklumat peribadinya turut didedahkan susulan penularan gambar-gambar tersebut.

"Perkara ini telah menjejaskan kehidupan seharian saya dan keluarga," katanya lagi.

Susulan itu, guru berkenaan kemudian membuat satu laporan polis berhubung dakwaan fitnah terhadap dirinya.

Permohonan maaf daripada individu yang menularkan gambar-gambar tersebut di laman X.

Terdahulu, seorang pengguna laman X memuat naik dua gambar tersebut dengan kapsyen "Apa benda ni? Cikgu? Macam ni?"

Rata-rata netizen mengecam aksi guru berkenaan di laman sosial dan menggesa Kementerian Pendidikan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Hasil semakan mStar mendapati pengguna laman X itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka kerana memuat naik gambar-gambar tersebut.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa gambar tersebut bukannya gambar tidak berpakaian beliau. Cuma saya menutup menggunakan pelekat ungu (emoji) agar tidak keterlaluan untuk dimuat naik," jelasnya yang mengakui kesilapannya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain