suria

Dua kali ditangkap basah, buruh binaan jadi orang pertama disebat di Terengganu

Berkhalwat merupakan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang bagi umat Islam di negara ini. -Gambar hiasan

SESAL dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai seorang pemuda yang dijatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 selepas dia mengaku bersalah atas kesalahan khalwat kali kedua.

Pengakuan bersalah oleh tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada Isnin.

Buruh binaan itu mengaku bersalah selepas pertuduhan di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Pindaan 2022 dibacakan di hadapan Hakim Hamidi Shafie.

Berdasarkan pertuduhan, dia dan pasangannya ditahan khalwat ketika serbuan pada 25 Januari lalu oleh penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu (JHEAT).

Dia dan pasangannya ditahan di sebuah premis rumah kedai yang mana tertuduh turut bekerja di sana.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(a) kerana kesalahan khalwat enakmen yang sama di mana sabit kesalahan boleh dihukum enam sebatan atau penjara tiga tahun dan denda RM5,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri dicekup khalwat di hotel bajet! Rancangan ‘honeymoon’ ke Paris disabotaj ‘makcik puaka’ tauke kedai makan

Tertuduh berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan mahkamah manakala hukuman sebat akan dilakukan selepas tamat tempoh rayuan.

Untuk rekod, ia bukanlah kesalahan pertama memandangkan pemuda itu pernah ditangkap khalwat pada 11 Julai 2023 dan dijatuhkan hukuman denda RM2,700.

Dia bagaimanapun memohon diberikan hukuman ringan memandangkan gajinya sebagai buruh hanya berjumlah RM2,000 sebulan.

Tertuduh juga mengaku insaf dan merancang untuk menikahi pasangannya.

Hukuman itu merupakan yang pertama bagi kesalahan khalwat yang disebat di Malaysia selepas pindaan Enakmen Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2022.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain