suria

Kebakaran 2 kenderaan: Warga emas melecur teruk akhirnya meninggal dunia, kekasih masih di ICU

Kebakaran membabitkan sebuah MPV dan sebuah motosikal di Taman Utama, Bercham pada Rabu. -Gambar JBPM

SEORANG daripada dua individu warga emas yang melecur hampir keseluruhan badan dalam kebakaran membabitkan dua kenderaan di Taman Utama, Bercham, Ipoh pada Rabu, disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, mangsa lelaki berusia 64 tahun itu meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada pukul 6.52 petang Khamis.

Sementara itu, mangsa wanita berusia 57 tahun yang merupakan kekasihnya, sehingga kini masih belum sedarkan diri dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

ARTIKEL BERKAITAN: 2 ‘terbaring’ melecur teruk... MPV, motosikal terbakar depan rumah

Menurutnya lagi, sehingga kini polis sudah merakam percakapan empat saksi berhubung kes terbabit.

Pada Rabu, media melaporkan dua individu warga emas melecur teruk dalam kebakaran membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan motosikal Honda C70.

Dilaporkan, seorang saksi mendengar pertengkaran antara kedua-dua mangsa sebelum kebakaran berlaku.

Ketika ini, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain