suria

Pesara wanita putih mata wang simpanan lebih RM500,000 lesap

Seorang pesara wanita menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian. -Gambar hiasan

SEORANG pesara wanita mengalami kerugian lebih RM500,000 daripada wang simpanannya akibat terpedaya dengan pelaburan tidak wujud dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa yang pernah bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta membuat laporan polis pada Selasa selepas menyedari dirinya ditipu.

"Mangsa berurusan melalui aplikasi Whatsapp dengan seorang individu yang tidak dikenali dan menyertai pelaburan dalam talian serta membuat pindahan wang sebanyak 16 kali transaksi.

"Mangsa memindahkan wang miliknya bermula dari 10 Disember 2022 sehingga 14 Januari 2023 dan mengalami kerugian berjumlah RM512,200," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun tidak dinyatakan lebih lanjut kenapa mangsa hanya membuat laporan polis berhubung perkara itu setahun kemudian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mohamad Hatta menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pengesahan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk melabur skim pelaburan dalam talian.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada pihak yang menawarkan pelaburan secara atas talian dengan keuntungan yang tinggi.

"Segera buat semakan dengan polis bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. Orang ramai juga menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain