suria

Sah! Polis temukan tulang dipercayai milik manusia dekat lokasi penemuan rangka Bella

Polis menemukan beberapa tulang di lokasi penemuan rangka Bella.

POLIS mengesahkan penemuan beberapa tulang dipercayai milik manusia ditemukan di lokasi penemuan rangka Allahyarham Mila Sharmila Samsusah, atau Bella, 32.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penemuan tulang pada 28 Februari lalu selepas dilaporkan oleh orang awam.

Menurutnya, hasil siasatan pasukan forensik dari ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor menemukan dua ketul tulang dipercayai bahagian paha, dua ketul tulang betis dan dua ketul tulang keting di lokasi itu.

"Kesemua tulang yang dijumpai dihantar ke Jabatan Kimia Johor pada 29 Februari untuk analisa perbandingan DNA.

"Polis masih menunggu keputusan laporan analisa daripada Jabatan Kimia dan proses itu dijangka mengambil tempoh lebih kurang sebulan," katanya dalam kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak syukur lebih banyak anggota hilang ditemukan semula, 90 peratus rangka milik Bella

Ismail berkata, polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penemuan tersebut.

Individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menyalurkan ke talian 07-436330.

Terdahulu, kakak kepada Bella, Norhisham Samsusah berkongsi telah dimaklumkan mengenai penemuan tulang dekat lokasi rangka Bella ditemukan.

Dia sekeluarga bagaimanapun masih menunggu keputusan forensik.

Mayat Bella ditemukan dalam keadaan rangka tidak sempurna di sebuah rumah sewa terbiar di Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat.

Penemuan rangka itu menjawab misteri kehilangan Bella selepas mangsa didakwa keluar bersama suspek yang merupakan teman lelakinya, pada malam 14 Disember 2023.

Pada 23 Januari lalu, polis dalam satu kenyataan memaklumkan rangka ditemui itu adalah milik Bella selepas ujian DNA dilakukan berpadanan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak Bella.

Susulan itu, suspek utama kes pembunuhan Bella akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor pada 24 Januari atas pertuduhan bunuh.

Tertuduh Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang diwakili peguam Syahril Anuar mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Asidah A Rahman, namun tiada pengakuan direkodkan.

Haikal yang juga teman lelaki mangsa didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 11 malam pada 14 Disember 2023 hingga pukul 5.30 pagi hari berikutnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain