suria

Bukan terlepas peluang konsert Taylor Swift, tapi Malaysia tak pernah dapat tawaran - Adam Adli

Adam menjawab persoalan yang dibangkitkan mengenai konsert Taylor Swift. -Gambar AP

DAKWAAN yang mengatakan kerajaan terlepas peluang untuk memanfaatkan ruang bagi membolehkan artis antarabangsa, Taylor Swift, mengadakan persembahan di Malaysia, adalah tidak benar, kata Adam Adli.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, persembahan Swift tidak pernah ditawarkan kepada Malaysia, sambil menambah, penganjuran konsert juga bukan di bawah bidang kuasa kementerian.

"Apa yang dibangkitkan baru-baru ini berkaitan peluang yang terlepas sebenarnya tidak begitu tepat.

"Konsert berkenaan tidak pernah ditawarkan kepada kerajaan Malaysia di bawah kontrak bersama Sportswork Group Sdn Bhd dan syarikat ASM Global yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS)

"Kontrak yang ditandatangani pada awal 2023 hanya untuk menyokong keseluruhan pengurusan venue," katanya di Parlimen pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Coldplay di KL paling ramai penonton... Capai kutipan RM3.8 bilion untuk siri jelajah dunia

Timbalan menteri itu menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin (PH) yang meminta jawapan kementerian berhubung dakwaan Malaysia gagal merebut peluang membawa selebriti antarabangsa ke negara ini.

Sebelum ini, dilaporkan Malaysia berpeluang menganjurkan konsert Taylor Swift pada 2022 tetapi terlepas peluang tersebut kepada Singapura.

Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latiff kemudiannya menggesa kerajaan menjawab kegagalan Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi konsert The Eras Tour, yang membawakan penyanyi, Taylor Swift. -THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain