suria

Lelaki tunjuk kemaluan kepada 3 anak perempuan! Siap ugut bunuh, bakar ibu sendiri

Tertuduh yang merupakan seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, pada Khamis.

SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan iaitu mengugut bunuh dan membakar ibu, mencederakan anak serta isteri dan melakukan amang seksual terhadap tiga anaknya pada bulan lalu.

Pengakuan tersebut dibuat oleh penganggur berusia 40 tahun di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman dan Rohatul Akmar Abdullah, pada prosiding berasingan, di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, pada Khamis.

Mengikut tiga pertuduhan di hadapan Rohatul Akmar, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tiga anak perempuannya berusia 12, 14 dan 16 tahun dengan cara menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Merlimau Baru, Jasin pada 26 Februari lalu, kira-kira pukul 10 malam.

Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017) yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor didakwa atas tuduhan buat pornografi, amang seksual

Sementara itu pada prosiding di hadapan Azaraorni pula, tertuduh didakwa mengugut untuk membunuh dan membakar ibunya yang berusia 63 tahun, di luar rumah pada tempat serta tarikh sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga didakwa atas empat pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga anak perempuannya berusia 12, 14 dan 16 tahun serta isterinya berusia 41 tahun pada tarikh, tempat dan masa sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 22 April ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain