suria

Curi Yamaha LC135, remaja 14 tahun antara tiga ditahan - Polis

Mencuri adalah kesalahan jenayah dan boleh dihukum. -Gambar hiasan

SEORANG remaja berusia 14 tahun antara tiga lelaki ditahan polis dipercayai terlibat kes kecurian motosikal di Pandan Jaya, Selangor pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, kesemua suspek ditahan selepas seorang lelaki tempatan membuat laporan kehilangan motosikal jenis Yamaha 135LC selepas meletakkannya di kaki lima kawasan tersebut.

“Susulan laporan dibuat, kita berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 14 hingga 59 tahun di Jalan Pandan 3/7, Pandan Jaya, kelmarin (Khamis).

“Pihak polis turut membuat rampasan telefon bimbit, anak kunci dan satu buah motosikal jenis Yamaha LC135 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Nazruel, ujian air kencing terhadap kesemua suspek mendapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

Bagaimanapun, semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau, manakala suspek kedua dan ketiga tiada rekod jenayah.

“Siasatan awal pihak polis mendapati modus operandi suspek mencuri motorsikal yang diparkir di kaki lima kawasan rumah kedai.

“Permohonan reman kesemua suspek di Mahkamah Ampang dibenarkan selama tiga hari bermula Jumaat hingga esok.

Sehubungan itu, Nazruel memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan mencuri sebuah kenderaan bermotor.

“Pihak polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan mencuri kenderaan milik orang lain,” ujar beliau.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain