suria

Genap 10 tahun insiden MH370, isteri pramugara titip luahan menyentuh hati - “Semangatmu tetap hidup dalam cinta kita”

Intan Maizura berkongsi luahan hati tentang suaminya, Mohd Hazrin. -Gambar Instagram Intanmaizuraothman

"TIADA sehari pun yang berlalu tanpa ingatan padamu yang sentiasa berada dalam fikiranku."

Demikian coretan menyentuh hati yang diluahkan Intan Maizura Othman, iaitu isteri kepada pramugara pesawat Malaysia Airlines (MAS), Allahyarham Mohd Hazrin Mohamed Hasnan.

Allahyarham Mohd Hazrin merupakan salah seorang mangsa pesawat MH370 yang hilang tanpa jejak pada 8 Mac 2014 selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Hari ini, genaplah 10 tahun insiden pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu diselubungi misteri yang masih belum mampu dirungkai oleh sesiapa.

Tidak pernah sekelumit pun rasa rindu pada arwah suaminya surut, Intan Maizura meluahkan betapa pemergian lelaki berkenaan benar-benr membuatkan hidupnya kosong.

maizura 3

Mohd Hazrin merupakan pramugara yang bertugas dalam penerbangan MH370 pada 8 Mac 2014.

"Saya merindui pelukan hangat, senyuman mesra dan gelak tawa kamu yang sentiasa memenuhi rumah kita.

"Saya menghargai setiap saat yang kita kongsi, setiap ketawa, setiap air mata, setiap bisikan 'I love You'.

"Tetapi detik-detik yang tidak dapat kita rasai bersama itu menjadi perkara yang membebankan hati saya," luahnya dalam bahasa Inggeris.

ARTIKEL BERKAITAN: “You mungkin tiada, tapi tidak akan dilupakan” - Isteri pramugara MH370 kongsi luahan menyentuh hati, 9 tahun tanggung rindu

Dalam coretan meruntun jiwa itu juga, Intan Maizura yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata berkata, biarpun suaminya tiada lagi di sisi, namun dia terlalu bersyukur dikurniakan seorang lelaki yang melengkapi kehidupannya.

"Sakit kehilangan kamu mungkin tidak akan pudar sepenuhnya, begitu juga dengan cinta yang mengikat kita.

"Kamu adalah kekuatan saya, insan kepercayaan saya, sahabat baik dan tiada satu hari pun yang berlalu tanpa saya mengucap syukur dengan apa yang kita ada bersama-sama.

"Walaupun kamu mungkin tiada lagi di sisi saya, semangat kamu tetap hidup dalam cinta serta kenangan kita bersama.

"Sehingga kita bertemu lagi, ketahuilah bahawa kamu akan sentiasa berada di tempat yang istimewa dalam hati saya," demikian catatan yang dikongsi di laman sosial miliknya pada Khamis.

maizura 2

Intan Maizura bersama dua cahaya mata, Iman dan Muhammad.

Perkongsian berkenaan dibanjiri dengan komen warga maya yang rata-ratanya turut melahirkan rasa sebak, selain melontarkan kata-kata semangat buat wanita berkenaan.

"Stay strong Intan... kami sama-sama dapat merasai apa yang awak rasa.

"Doa kami sentiasa untuk kamu, Intan.

"Semoga Intan dan anak-anak terus kuat dan dirahmati Allah. Al-Fatihah untuk arwah,"demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain