suria

Dua BMW berhimpit, kejar mengejar tak hirau keselamatan pengguna lain... Polis diminta bertindak

Dua buah kenderaan model BMW berhimpit dipercayai gara-gara tidak berpuas hati.

VIDEO memaparkan dua buah kereta mewah yang saling berhimpit dipercayai berpunca akibat rasa tidak puas hati sesama pemandunya, mengundang kecaman warga maya.

Video tersebut yang dirakam oleh seorang pengguna jalan raya lain, tular selepas dimuat naik ke akaun @aemnsyfq di TikTok.

Menerusi klip berdurasi 48 saat itu, kelihatan dua buah kereta model BMW jenis sedan dan kenderaan utiliti sukan (SUV) berhimpit dan enggan mengalah memberi laluan antara satu sama lain.

"Seperti berlaku pertengkaran. Mohon @pdrmsiaofficial ambil tindakan. Membahayakan pengguna jalan raya yang lain," demikian kapsyen pada video berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Samseng habis! Lelaki main ‘tunjal-tunjal’ kepala pemandu wanita, marah potong di selekoh - “Pecah muka kau kejap lagi”

Kedengaran pengguna jalan raya yang lain turut membunyikan hon berkali-kali kerana tindakan kedua-dua pemandu berkenaan menyebabkan aliran trafik terganggu.

Menurut pemilik video, kejadian berlaku di susur keluar Lebuhraya DUKE menghala ke Seri Gombak, pada petang Sabtu.

Adegan himpit-menghimpit tidak terhenti, sebaliknya kedua-dua buah kereta tersebut kelihatan saling mengejar apabila melepasi susur keluar ke DUKE.

Sehingga kini video berkenaan meraih lebih 75,000 jumlah tontonan.

Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas kedua-dua pemandu berkenaan.

"Terang-terang salah. JPJ dan polis ambil tindakan... details dah ada.

"Jarang berlaku 'adik-beradik' bergaduh.

"Orang kaya mana ada otak," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain