suria

Iktiraf penulis tempatan... Anugerah Pilihan Pembaca Popular-The Star angkat karyawan bidang penulisan

Penyampaian Anugerah Pilihan Pembaca Popular-The Star di KLCC, Kuala Lumpur.

ANUGERAH Pilihan Pembaca Popular-The Star (RCA) edisi ke-14 dan Anugerah Pilihan Pembaca (APP) Popular-BH terus memartabatkan dedikasi dan komitmen kumpulan penulis dalam menghasilkan karya sastera.

Pengarah Popular Holdings Bhd, Simon Shen berkata anugerah itu bertujuan meraikan pencapaian penulis tempatan dalam kategori bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, sekali gus mendukung komitmen Popular untuk memupuk minat membaca.

"Kami percaya RCA dan APP memainkan peranan penting untuk menyemai minat membaca dalam masyarakat dan mengiktiraf pencapaian pengarang tempatan,” kata Shen dalam ucapannya pada majlis penyampaian anugerah berkenaan di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Undian pembaca menjadi merit untuk menentukan judul buku yang selayaknya merangkul anugerah buku Fiksyen dan Bukan Fiksyen 2023 terlaris dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

Tempat pertama dan kedua untuk kategori fiksyen dan bukan fiksyen dipegang oleh Will You Love Me? dan Letters for the Fragile Heart yang dinukilkan oleh Norhafsah Hamis.

“Terima kasih Popular atas anugerah yang cukup bermakna ini dan terima kasih kepada semua pembaca atas sokongan berterusan anda,” kata Norhafsah menerusi wakilnya kerana dia tidak dapat menghadiri sendiri majlis itu.

“Tahun lalu, saya menerima hadiah pengiktirafan dan Alhamdulillah tahun ini saya berpeluang untuk menerimanya lagi,” katanya.

Tambah Norhafsah, sebagai seorang penulis, tiada kata-kata yang dapat diungkap untuk menggambarkan perasaan syukur dan gembira atas penghormatan itu.

“Kepada pembaca saya, anugerah ini didedikasikan untuk anda kerana sentiasa menyokong saya dalam perjalanan ini. Kepada pasukan Penerbitan Iman, terima kasih tulus ikhlas saya ucapkan dan semoga persahabatan kita berkekalan sehingga akhir hayat,” tambahnya.

Hadiah tempat kedua dalam kategori fiksyen tahun ini dianugerahkan kepada Not Here to Stay oleh NF Afrina, sebuah novel berkisarkan alam khayalan yang dikenali sebagai Lagenda.

Manakala hadiah tempat ketiga menjadi milik Lilian Li untuk bukunya Duet Me Not yang mengisahkan perjalanan Ashvin, seorang pemain papan selaju, dan June, seorang atlet negara.

Sementara itu bagi kategori bukan fiksyen pula, Norhafsah berkata kemenangannya untuk Letters for the Fragile Heart adalah di luar jangkaan.

"Saya terkelu, ini adalah sesuatu yang sangat luar biasa bagi seorang pengarang. Sekali lagi, terima kasih Popular atas anugerah ini.

"Kepada pembaca saya, apa yang boleh saya katakan, saya menghargai sokongan anda yang tidak berbelah bahagi. Saya benar-benar terharu.

"Saya berharap industri buku tempatan kita akan berkembang dan diiktiraf di peringkat antarabangsa serta disegani,” katanya.

Hadiah tempat ketiga pula dibawa pulang oleh buku bertajuk Doktor di Dok oleh Dr Ariza Mohamed, mengisahkan bagaimana hidupnya berubah mendadak apabila dia dipertemukan semula dengan pesakit yang pernah dirawatnya 15 tahun lalu.

Dalam masa sama, APP Popular-BH turut menyampaikan anugerah pada majlis yang sama untuk buku bahasa Melayu dalam kedua-dua kategori fiksyen dan bukan fiksyen.

Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group Bhd (SMG), Chan Seng Fatt berkata acara yang dianjurkan berupaya menawan hati pengunjung dengan tawaran yang pelbagai dan aktiviti menarik.

“Seperti yang kita sedia maklum, setiap penulis bermula dengan halaman kosong dan impian yang ingin digapai.

"Perjalanan daripada bawah sehingga mengecapi menara gading membuktikan ketabahan dan kerja keras penulis dalam mengejar cita-cita,” kata Chan sambil menambah bahawa anugerah itu memainkan peranan penting dalam memupuk bakat dan mengiktiraf kehebatan komuniti sastera Malaysia.

“Dengan kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon atas pencapaian membanggakan mereka, saya mendoakan segalanya yang terbaik untuk mereka di masa hadapan,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Kandungan Kumpulan Media Star (SMG), Datin Paduka Esther Ng dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, M. Thilinadan.

Bookfest@Malaysia 2024 bermula semalam (6 April) dan bakal berlangsung sehingga 14 April, menampilkan kira-kira 520 gerai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain