BARU-BARU ini kecoh di laman media sosial apabila seorang lelaki disuruh memakai jubah dan selendang bagi menutupi kepala ketika memasuki Masjid Negara. Menerusi video yang tular tersebut, kedengaran suara lantang seorang wanita dipercayai pengawal keselamatan di masjid berkenaan meminta lelaki terbabit untuk segera menutup aurat. Lelaki itu kemudiannya cuba menjelaskan salah faham yang berlaku dengan memberitahu dia adalah seorang lelaki yang berambut panjang dan tidak perlu menutupi rambutnya. Walaupun begitu, pengawal tersebut masih bertegas dan memintanya untuk memakai topi serta jubah yang disediakan pihak masjid. "Penat la jadi lelaki lawa, makcik masjid ni terkeliru sampai suruh aku tutup rambut, aku pula hanya boleh tercengang," tulis lelaki itu berseloroh di ruangan kapsyen TikTok. Masjid Negara terletak di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur bersebelahan Stesen Keretapi Malaysia. -Foto The Star Dalam pada itu, menerusi kenyataan yang dikeluarkan pihak pengurusan Masjid Negara pada Ahad, permohonan maaf secara terbuka dibuat susulan kesilapan pengawal keselamatan mereka meminta pengunjung lelaki memakai tudung. Selain itu, Masjid Negara bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata pihak mereka akan memberikan teguran kepada pengawal keselamatan terbabit agar lebih peka dalam menjalankan tugas. "Pihak Pengurusan Masjid Negara mengambil serius terhadap perkara ini dan dengan rendah hati memohon maaf di atas kekhilafan dan kekeliruan pengawal keselamatan wanita tersebut. "Untuk makluman, pengawal keselamatan itu adalah lantikan pihak ketiga iaitu syarikat keselamatan yang dilantik melalui perolehan kerajaan. "Pihak Pengurusan Masjid Negara sekali lagi memohon maaf kepada individu-individu yang terlibat dan orang awam yang turut terkesan berkaitan video terbabit. "Masjid Negara juga akan memastikan perkara seperti ini tidak berulang di masa akan datang bagi menjamin reputasi dan imej institusi masjid kekal terpelihara," ujar Pihak Pengurusan Masjid Negara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube