suria

Lelaki tendang kepala patung berhala... Berani rakam dan kongsi di media sosial

Video tular seorang lelaki merosakkan peralatan di tempat sembahyang.

BARU-BARU ini tular rakaman berdurasi 41 saat di laman X memaparkan seorang lelaki merosakkan patung berhala menggunakan kaki di sebuah tokong sekitar Kampung Koh, di Manjung, Perak.

Sehubungan itu pihak polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada Sabtu, kira-kira 1.30 petang.

Tambahnya, pengadu berusia 56 tahun bertindak membuat laporan selepas tular di media sosial video lelaki terbabit merosakkan patung berhala.

"Pihak polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di Taiping, pada pukul 9.30 malam, Sabtu.

"Polis turut merampas satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek untuk merakam video terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Mohamed Nordin, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.

Polis menggesa orang ramai untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sentimen isu 3R (raja, agama, kaum) sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan sekali gus menjejaskan keselamatan negara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain