suria

Dua pegawai APMM cedera ditembak di perairan Kunak

APMM melakukan pemantauan di perairan Kunak.

DUA pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditembak ketika mengejar suspek penjenayah di perairan Kunak di Sabah pada awal pagi Ahad (7 April).

Kapten kapal Zainal Abad Komel, 45, dan Prayrie De Cuella Jimin, 35 pada masa kejadian sedang membuat rondaan di perairan apabila mereka menyedari bot pam berwarna biru berhampiran Kampung Pangi, Kunak pada kira-kira pukul 8.30 pagi.

Menurut Komander APMM Lahad Datu Dr. Suzanna Razali Chan, pihaknya percaya tiga suspek terbabit melepaskan empat das tembakan ke arah pegawainya.

“Ketika mereka menghampiri, tembakan dilepaskan. Kami percaya tiga suspek melepaskan empat das tembakan ke arah pegawai kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata ia membawa kepada kejadian berbalas tembak antara suspek dan pegawai APMM kira-kira pukul 8.40 pagi.

“Zainal cedera di mata kanan manakala Prayrie cedera kedua-dua belah tangannya ketika cuba membalas tembakan untuk mempertahankan diri,” katanya.

Tambah Suzanna, empat lagi di atas kapal APMM Bot Banggi 48 tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihaknya telah melancarkan pemburuan penuh bagi menahan suspek.

“Kami telah menggerakkan pasukan tindakan khas dan pasukan penyelamat, bahagian sokongan udara dan risikan kami ke lokasi untuk menyiasat dan memburu suspek,” katanya sambil menambah pegawai Kawasan Keselamatan Timur Sabah (Esscom) juga merupakan sebahagian daripada menyelamat dan siasatan ini. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain