suria

Harumanis ‘kayangan’ cecah RM49 sekilogram! Anak Perlis janji cita rasa premium, berani tawar ‘warranty’ pulangan wang tunai

Afnan komited dalam memajukan industri pengeluaran harumanis di Perlis.

MANGGA harumanis, mendengar namanya sahaja sudah cukup untuk kita membayangkan tentang tekstur isinya yang halus, mempunyai bau harum serta memiliki rasa manis berjus.

Bagi memenuhi ciri-ciri berkenaan, mangga harumanis memerlukan penjagaan rapi selain faktor semulajadi iaitu cuaca panas di utara tanah air untuk ia hidup subur.

Justeru, tidak hairanlah ikon kebanggaan negeri Perlis ini diangkat sebagai buah premium setaraf produk import dari negara luar.

Antara yang bersemangat mengangkat martabat mangga harumanis adalah pemilik perusahaan Mango Charm, Afnan Hakim Khalil atau lebih mesra disapa Afnan.

Pemuda berusia 29 tahun ini berani untuk meletakkan nilai harumanis pada harga premium yakin dengan kualiti yang ditawarkan.

harumanis1

Kualiti mangga harumanis terjamin di bawah jenama Mango Charm.

Menurut Afnan, harga pasaran terkini untuk mangga harumanis yang dijual secara terus dari ladang ke pelanggan adalah RM25 per kilogram (kg).

"Sebelum ni dari tahun 2017 ke 2023 harganya sekitar RM20 hingga RM21 sekilogram sahaja. Tahun ini ada kenaikan sedikit sebab baja dan kos penjagaan yang lain semakin mahal.

"Namun di Mango Charm, kami berani menjual mangga harumanis pada harga RM49 sekilogram. Tapi kami lakukan promosi, kalau beli terus tiga kilogram boleh dapat harga RM130.

"Pasti ramai yang mempersoalkan mengapa harga mangga harumanis kami jauh berbeza daripada harga pasaran, ada sebabnya," ujar Afnan yang mula menjalankan perniagaan harumanis pada tahun 2017.

Pokok mangga harumanis harus 'dibelai'

Tambah anak kelahiran Perlis itu, pokok mangga harumanis memerlukan cuaca yang seimbang antara hujan dan panas (30 darjah Celcius) untuk bunganya mekar lalu berkembang menjadi buah.

"Perlis satu-satunya negeri dalam Malaysia dengan cuaca ideal untuk pokok mangga harumanis hidup 'bahagia', negeri lain mungkin terlebih panas atau terlebih hujan, makanya tak menjadi.

"Baru-baru ni kita alami gelombang haba di seluruh negara, pendebungaan pokok mangga kami ada yang terjejas. Jadi kita boleh nampak yang pokok mangga harumanis ni sangat sensitif.

harumanis2

Buah yang dipetik akan diperiksa bagi memastikan kualitinya terjamin.

"Musim menuai buah mangga harumanis adalah antara April hingga Jun... sekarang ni kita baru je bermula," ujar Afnan.

Jelas Afnan lagi, pokok mangga harumanis bukanlah spesies tumbuhan yang 'kental' dan ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Dek kerana itu juga harumanis dikategorikan sebagai buah premium kerana ia haruslah dibelek dan dijaga dengan teliti oleh pengusahanya.

"Pekerja kami akan pergi ke setiap pokok mangga harumanis di ladang dan periksa secara berkala. Apabila tiba masanya, kami akan balut buah dengan kertas khas sebagai lapisan perlindungan.

ARTIKEL BERKAITAN: Musim harumanis dah tiba, peguam muda bijak buat duit tepi... Buka but kereta jual mangga Perlis di Bukit Jelutong

"Mangga harumanis ni banyak makhluk perosak seperti kelawar yang suka makan, itu antara cabaran terbesar kami. Seterusnya kami gunakan agen vitamin supaya buah mangga harumanis kami lebih sihat dan 'surr'.

"Vitamin tu dikenali sebagai semburan foliar bagi menggalakkan pertumbuhan daun pokok mangga harumanis. Tidak dilupakan juga baja istimewa yang kami masukkan ke dalam tanah untuk meningkatkan nutrien pokok.

"Sepanjang tahun kami juga akan mencantas dahan pokok, satu teknik untuk menjamin pokok mangga harumanis yang lebih subur dan juga aktiviti meracun bagi mengelakkan serangan serangga perosak," terang Afnan.

Jika harga harumanis diselaraskan, peniaga dan pengusaha boleh dapatkan pulangan lebih lumayan selari dengan usaha yang dicurahkan.

AFNAN HAKIM KHALIL

PENGUSAHA HARUMANIS

Sebagai makluman, bagi musim tahun 2024 ini Afnan mempunyai sejumlah enam ladang yang diurus secara pajakan bagi membekalkan buah mangga harumanis.

"Ladang ni diusahakan oleh orang tempatan di Perlis, niatnya untuk bantu pakcik dan makcik jual buah mereka. Kami tanggung semua daripada segi kos penyelenggaraan ladang.

"Jadi apabila habis musim, keuntungan akan dibahagikan mengikut pecahan 70 peratus kepada kami dan 30 peratus kepada mereka," kata Afnan.

Selesai soal penjagaan, ternyata ada sebab lebih menarik mengapa harga mangga harumanis di Mango Charm memasuki kelas 'kayangan'.

Jaminan wang dikembalikan

Kebiasaannya kita akan mendapatkan jaminan atau warranty apabila membeli barangan seperti perabot, peralatan elektrik, elektronik dan sebagainya.

Tetapi di Mango Charm, warranty turut diberikan apabila anda membeli buah mangga harumanis.

Afnan menjelaskan Mango Charm berjanji untuk memberikan pulangan wang tunai sekiranya buah mangga harumanis yang dibeli daripada mereka rosak ketika diterima.

WhatsApp Image 2024-04-25 at 11.58.40 AM (3)

Kaedah pembungkusan yang baik bagi menjamin kualiti buah mangga harumanis.

"Ini antara sebab mangga harumanis di Mango Charm sedikit mahal berbanding peniaga lain. Kami sedia beri ganti rugi menerusi kaedah pulangan wang.

"Pengiraannya macam ni, contohnya pelanggan beli tiga kilogram mangga harumanis dengan harga RM130. Katakan pula dalam tiga kilogram tu mungkin pelanggan dapat tujuh biji buah mangga.

"Maka RM130 bahagi dengan tujuh buah mangga, maknanya sebiji buah mangga tu berharga RM18.57. Jadi kalau pelanggan dapat dua biji buah mangga yang rosak, kami akan bayar dia semula RM37.14," jelasnya.

Afnan berkata konsep jaminan wang dikembalikan dalam jual beli mangga harumanis timbul kerana dia 'menghormati' buah tersebut.

"Saya pandang mangga harumanis ni sebagai buah yang premium dan mahal, jadi saya rasa ralat kalau pelanggan tak dapat makan sebab rosak dimakan ulat. Saya komited agar pelanggan saya berpuas hati.

"Walaupun diwujudkan pelbagai prosedur untuk pastikan buah yang dijual itu sempurna, tapi kadangkala kami terlepas pandang juga. Ia nampak elok daripada luar tapi rupanya busuk di dalam," ujarnya.

Kotak bungkusan Mango Charm yang inovatif dan kreatif.

Menurut Afnan, jaminan pengembalian yang disediakan Mango Charm itu boleh dituntut melalui kod QR di kotak bungkusan.

"Pelanggan boleh scan kod QR yang dipautkan kepada WhatsApp untuk mereka salurkan aduan. Saya akan minta gambar dan butiran lain yang berkaitan," katanya.

Dalam pada itu Afnan berkata, kaedah pembungkusan yang baik juga menjadikan harumanis layak diangkat sebagai buah premium.

"Bercakap tentang kotak bungkusan, kami reka daripada bahan fiber yang tebal dan keras sebab risaukan buah mangga harumanis rosak apabila dihantar melalui kurier kepada pelanggan.

"Itu perkara utama yang menjadi kerisauan kami apabila mengembangkan perniagaan secara dalam talian. Sebelum ni kami berniaga mangga harumanis di tepi jalan saja.

"Dekat kotak bungkusan tu pun ada panduan lengkap yang dilukis oleh artis kami tentang cara betul untuk makan mangga harumanis. Ia penting dalam memastikan pelanggan rasai nikmat sebenar buah premium harumanis," kata Afnan.

Snapinsta.app_435393218_18086897002427474_5642748638563956460_n_1080

Harumanis keluaran Mango Charm sedia untuk dihantar kepada pelanggan.

Sinar baharu buat pengeluar mangga harumanis

Mengakhiri bicara, Afnan menanam tekad untuk membela nasib komuniti pengeluar dan peniaga mangga harumanis kerana pasaran hari ini tidak meletakkan nilai yang sepadan bagi buah berkenaan.

"Kami harap untuk berikan kesedaran kepada persatuan dan pihak terlibat supaya menyeragamkan harga jualan mangga harumanis. Ada sesetengah peniaga yang meletakkan harga terlampau murah.

"Mereka mungkin risau tiada siapa yang beli, tapi perkara ni boleh merosakkan pasaran kita. Kalau kita lihat pun, musim mangga harumanis hanya keluar setahun sekali dan proses penjagaannya sangat rumit. Rugi jika situasi ini dibiarkan berterusan.

"Jika harga mangga harumanis diselaraskan, peniaga dan pengusaha boleh dapatkan pulangan lebih lumayan selari dengan usaha yang dicurahkan. Semoga pada tahun mendatang dapat dilihat perubahan demi manfaat daripada sudut ekonomi semua pihak," ujar Afnan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain