suria

Kecoh logo menyerupai kalimah Allah di tapak kasut! Pengeluar kata bayangan lakaran sepatu tumit tinggi

Logo kasut yang mencetuskan kontroversi di Malaysia.

KONTROVERSI berkaitan logo kasut yang dikatakan menyerupai perkataan 'Allah' terjawab apabila syarikat terlibat, Verns Holding Sdn Bhd tampil membuat penjelasan.

Pada masa sama, pihak tersebut turut mengemukakan permohonan maaf selepas mendapati grafik rekaannya telah menyinggung sensitiviti masyarakat terutama umat Islam.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya, Verns menjelaskan bahawa grafik itu sebenarnya adalah kasut tumit tinggi yang digayakan dengan tali.

“Kami tidak berniat untuk mereka bentuk logo yang menghina mana-mana agama atau kepercayaan dan kami berharap diberi peluang untuk menjelaskan reka bentuknya.

“Pihak pengurusan kami dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada semua dan kami berharap diberi peluang untuk memperbetulkan kesilapan itu,” kata kenyataan itu.

Penjelasan logo kasut Verns.

Penjelasan logo kasut Verns.

Syarikat tersebut juga berkata, mereka telah mengambil langkah segera untuk menghentikan penjualan kasut yang terjejas dan akan menawarkan bayaran balik kepada pelanggan yang telah membelinya.

“Ini adalah pengajaran yang sangat berharga untuk kami lebih berhati-hati dalam setiap keputusan kami bagi memastikan insiden sebegini tidak berulang,” tambah syarikat itu.

Verns Holdings berkata logo itu adalah 100 peratus berdasarkan siluet kasut bertumit tinggi dengan tali.

"Bagaimanapun, kami mengakui terdapat kelemahan dalam reka bentuk logo yang boleh menyebabkan ia disalah tafsir dan seterusnya menyinggung perasaan orang lain," tambahnya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu pihaknya akan meneliti dakwaan bahawa perkataan 'Allah' dalam tulisan Arab telah ditemui pada tapak kasut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar juga telah mengarahkan Jakim memanggil semua pihak berkaitan yang terlibat dalam kontroversi itu untuk menjelaskan sendiri insiden berkaitan pada Isnin (8 April).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain