suria

Beras bertimbun yang dibuang rupanya milik bekas MP Kuala Krau, beri penjelasan sebab dilupuskan

Datuk Seri Ismail Mohamed Said perjelas isu timbunan beras yang dibuang.

MISTERI timbunan beg beras yang dihumban ke tempat pembuangan sampah di Kuala Krau, Pahang akhiranya terjawab.

Beras dan beberapa lagi barangan dapur seperti mihun itu adalah milik peribadi bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Barangan itu disimpan secara pukal bagi memenuhi keperluan orang ramai di kawasan berkenaan.

Ismail dalam satu kenyataan berkata, barangan dapur itu terpaksa dilupuskan kerana sudah rosak dan tidak lagi sesuai untuk diagihkan bagi kegunaan orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Angkara siapa? Timbunan beg beras, lambakan stok makanan di kawasan pembuangan sampah cetus tanda tanya

“Pada tarikh 5 April 2024 saya menerima aduan daripada jiran yang menyatakan terdapat bau busuk di stor simpanan barangan dapur tersebut

"Hasil siasatan di stor simpanan mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus manakala barangan dapur seperti beras telah dicemari bubuk (kutu beras).

"Oleh kerana barangan dapur itu tidak lagi sesuai untuk digunakan, ia dilupuskan dan beras pula diberikan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar," jelasnya.

Tambah Ismail, beras dan barangan dapur tersebut merupakan stok simpanan yang disediakan secara berterusan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Pembelian barangan dapur itu tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang serta tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh Covid-19 atau persiapan menghadapi banjir,

“Barangan dapur ini disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada tahun 2022.

"Umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

“Saya mengambil tanggungjawab dan sangat menyesali perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan,” katanya.

Terdahulu, tular di Facebook pembuangan beras dan barangan dapur di tepi jalan Pintasan Rumpun Makmur-Gunung Senyum yang menggemparkan penduduk sekitar dan mencetuskan perbincangan hangat.

Untuk rekod, Ismail memegang kerusi Parlimen Kuala Krau selama empat penggal bersama Barisan Nasional sebelum tewas kepada calon Perikatan Nasional, Kamal Ashaari pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain