suria

Geng mat rempit cuba lari 'roadblock' polis... Dua maut berlanggar sesama sendiri, seorang parah

Motosikal diperiksa oleh pihak polis di sekatan jalan raya.

DUA penunggang motosikal maut manakala seorang lagi parah selepas bertembung sesama sendiri ketika cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di Sandakan, Sabah.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata dua mangsa yang terkorban masing-masing berumur 22 tahun, manakala mangsa yang cedera berusia 24 tahun.

"Ketika kejadian, pihak kami sedang menjalankan Ops Samseng di Batu 16, Jalan Kuari 3, Gum-Gum, Sandakan antara pukul 3 petang, Ahad dan 2 pagi, Isnin," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pada kira-kira pukul 5.30 petang ketika operasi sedang dijalankan, sekumpulan penunggang motosikal cuba berpatah palik untuk melarikan diri daripada pemeriksaan, namun tiga daripada mereka akhirnya berlanggar sesama sendiri.

"Dua lelaki maut manakala seorang lagu cedera parah.

"Kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat, manakala manga yang cedera dibawa untuk menerima rawatan kecemasan," kata Abdul Fuad.

Dalam pada itu, Abdul Fuad berkata hasil operasi yang dijalankan, sebanyak 60 buah motosikal dan 16 kereta disita atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 105 kenderaan terdiri 30 kereta dan 75 motosikal diperiksa serta membabitkan pemeriksaan seramai 127 individu iaitu 115 orang lelaki dan 12 wanita.

“Hasil operasi yang dijalankan, sebanyak 31 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya ubah suai ekzos, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insuran dan lain-lain,” katanya.

Menurutnya, seramai 35 pemandu dan penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi itu telah dibuat saringan ujian air kencing.

“Daripada jumlah itu, seramai lima disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana didapati positif dadah jenis ketamin dan ganja,” katanya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain