suria

Lelaki buka zip, tunjuk kemaluan kepada staf perempuan diburu polis

Lelaki tayang anu (kanan) kepada seorang pekerja kedai aksesori telefon diburu pihak polis. -Gambar hiasan (kiri)

POLIS giat mengesan seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh terhadap wanita yang bekerja di pusat aksesori telefon, dalam kejadian di Manggatal, Sabah pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam.

Menurut Kasim, suspek dikatakan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kemaluannya sambil bercakap di telefon sebagaimana dilaporkan oleh mangsa.

"Suspek dikatakan bukan pelanggan biasa di kedai berkenaan dan tidak pernah dilihat datang ke kedai itu.

"Suspek dilihat memakai baju berwarna putih dengan zip seluarnya terbuka," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas Kasim, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan mendapati suspek juga berlegar-legar di kawasan belakang kedai yang sama.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Pihak polis masih menjejaki suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu terbabit supaya tampil membantu siasatan," katanya lagi.

Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Audrea Johnson di talian 019-5209 0380.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain