suria

Gempar lelaki ceroboh Balai Polis Dato Keramat, cuba rampas senjata api

Balai Polis Dato Keramat diceroboh oleh seorang lelaki awal pagi Ahad. -Foto sumber GoogleMaps

DIKEMASKINI

SELEPAS insiden serangan maut di Balai Polis Ulu Tiram di Johor, pada Jumaat lalu, satu lagi serangan dilaporkan berlaku di Balai Polis Dato Keramat, George Town di Pulau Pinang, awal pagi Ahad.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.00 pagi Ahad, seorang lelaki dipercayai warga tempatan berusia 35 tahun cuba merampas senjata api daripada seorang anggota polis.

Difahamkan, suspek menunggang motosikal datang ke balai polis dan menghampiri anggota yang sedang bertugas di pintu pagar balai.

Suspek kemudian tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota berkenaan selepas ditanya mengenai tujuannya ke balai polis selain menceroboh masuk.

Media turut melaporkan anggota polis cuba menenangkan suspek, tetapi suspek secara tiba-tiba membuka topi keledarnya dan menyerang anggota tersebut.

Selain itu, suspek turut dilaporkan cuba merampas submesingan jenis HK MP5 daripada anggota polis.

Cubaan suspek bagaimanapun gagal selepas rakan setugas anggota berkenaan datang membantu dan berjaya menahannya.

Suspek yang mengalami kecederaan di muka dan tangan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sewaktu kejadian, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.

Tambah Hamzah, suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau dan dua rekod berkaitan dadah kini direman empat hari sehingga 22 Mei untuk siasatan lanjut.

"Ujian saringan awal air kencing didapati bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain