suria

Kes simbah asid Faisal Halim: Polis dedah lakaran fotofit suspek

Lakaran suspek simbah asid terhadap Faisal Halim didedahkan oleh PDRM.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan lakaran wajah (fotofit) suspek kes simbah asid membabitkan pemain pasukan Selangor FC, Faisal Halim.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, suspek dikenal pasti memakai topi celoreng tentera dan pelitup muka bercorak ketika kejadian pada 5 Mei lalu.

"Suspek dianggarkan berusia 30 tahun, berketinggian 165 sentimeter (cm) dengan saiz susuk badan sederhana dan berkulit sawo matang.

"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berwajah seperti lakaran fotofit terbabit, diminta tampil membantu siasatan polis.

Faisal mengalami kecederaan akibat disimbah asid pada 5 Mei lalu.

"Kita berharap ada saksi tampil dapat membantu PDRM dalam mengesan suspek, dan seterusnya membuat siasatan lanjut berkaitan kes simbah asid membabitkan Faisal," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Razarudin, maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Inspektor M Jagachandran a/l Murugesen melalui talian 012-684 8166 atau 03-2266 6071 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian 5 Mei lalu, Faisal dilaporkan cedera selepas disimbah asid dipercayai dilakukan oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya kira-kira pukul 5 petang.

Susulan itu, pemain utama Selangor FC berkenaan disahkan mengalami kecederaan melecur tahap empat di beberapa bahagian tubuhnya dan menerima rawatan di hospital.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain