suria

2 punca nahas helikopter Lumut dikenal pasti: Fennec tak ikut laluan, ketinggian ditetapkan

Laporan akhir berhubung tragedi nahas helikopter di Lumut, April lalu diumumkan pada Khamis.

KEPUTUSAN akhir laporan nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 nyawa di Lumut, Perak pada 23 April lalu mengenal pasti dua faktor sebagai punca tragedi.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob mengumumkan perkara itu berdasarkan laporan akhir yang dikeluarkan Lembaga Siasatan, menerusi sidang media di KD Sri Gombak, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur pada Khamis.

"Faktor pertama adalah pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang telah ditetapkan serta memasuki laluan pesawat AW 139.

“Faktor sekunder, channelized attention oleh kru pesawat AW 139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kru TLDM sihat, pesawat selamat untuk terbang... Laporan akhir nahas 2 helikopter dijangka selesai 29 Mei

Beliau turut menafikan insiden tersebut berlaku atas faktor kesilapan manusia.

“Di dalam laporan kita ini, kita tidak menyatakan langsung ‘human error’ (kesilapan manusia). Penemuan yang dibuat hanya menyatakan bahawa pesawat tidak berada pada ketinggian dan haluan yang telah ditetapkan.

“Mengapa lembaga siasatan memutuskan sedemikian, kerana pesawat Fennec tidak mempunyai kotak hitam dan data-data yang boleh kita rumuskan untuk mengaitkan dengan ‘human error ‘oleh juruterbang pesawat itu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kedua-dua bangkai pesawat itu masih berada di markas udara untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut, walaupun ia berada dalam keadaan tidak boleh diperbaiki.

“TLDM dan juga ATM berusaha sebaiknya untuk memastikan kebajikan waris mangsa nahas ini sentiasa diberikan perhatian utama.

“Semua urusan berkaitan pembayaran pampasan khususnya skim takaful berkelompok ATM dan sumbangan lain sudah diserahkan kepada waris berkelayakan,” katanya.

Menerusi laporan akhir yang dikeluarkan TLDM, laporan autopsi mengesahkan bahawa tiada isu hypoglycemia atau unsur keletihan terhadap semua kru udara serta tiada penggunaaan bahan terlarang.

Malah, semua kru terlibat dikenal pasti secara perubatan,’ fit to fly’ dan tiada unsur sakit mental atau ‘mental illness’ direkodkan atau dikenal pasti.

Menurut Abdul Rahman, maklumat dikemukakan itu adalah selari dengan laporan awal yang dikeluarkan pada 9 Mei lalu.

Pada 23 April lalu, dua helikopter Tentera Laut iaitu sebuah AgustaWestland AW-139 dan sebuah Eurocopter AS555SN Fennec berlanggar semasa menjalani rutin latihan untuk sambutan Hari Tentera Laut ke-90.

AW139 yang membawa tujuh anak kapal itu terhempas di tangga stadium TLDM manakala helikopter Fennec bersama tiga anak kapal merempuh kolam renang di kompleks sukan berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain