suria

Kecoh bergaduh di stadium, anggota tentera cedera dibelasah

Tangkap layar video yang tular di media sosial.

SEORANG anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendakwa dipukul oleh sekumpulan penyokong dalam perlawanan bola sepak di Lumut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, lelaki berusia 26 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 12.53 tengah hari Selasa lalu.

Mohamed Nordin berkata, lelaki itu mendakwa dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 petang, dia berada di Stadium Pangkalan TLDM Lumut bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara unit Markas Pangkalan TLDM Lumut (MKPL) dan Pasukan Khas Laut (Paskal).

Menurutnya, mangsa mendakwa penyokong Paskal di dalam stadium memukulnya secara beramai-ramai kerana tidak berpuas hati.

"Mangsa mendakwa, mereka menuduhnya menunjukkan isyarat jari tengah kepada mereka sedangkan dia tiada memberikan isyarat tersebut.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Mohamed Nordin berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera.

Susulan itu katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai dinasihatkan agar membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

"Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Nazari Yaakob di talian 017-5729646 bagi membantu siasatan pihak polis," kata Mohamed Nordin.

Terdahulu, tular video insiden pergaduhan itu, yang berlaku di luar pekarangan Stadium Pangkalan TLDM Lumut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain