suria

Anak maut dilanggar bapa ketika alih kenderaan

Kanak-kanak tersebut maut selepas dilanggar bapanya sendiri. -Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia satu tahun lapan bulan maut selepas dilanggar kenderaan dipandu bapanya di kawasan rumah mereka di Kampung Wakaf Kubor, Kampung Raja, Terengganu pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kematian kanak-kanak lelaki itu semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gong Medang selepas disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi.

Katanya, siasatan awal dijalankan dan mendapati kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak mengalihkan kenderaan jenis pacuan empat roda selepas selesai membasuhnya di halaman rumah.

"Bapa mangsa tidak menyedari kanak-kanak itu sedang bermain telefon bimbit di atas tangga rumah dan bergerak menuju ke arah kenderaan dipandu lelaki itu dan menyebabkan pemandu itu terlanggar anaknya.

"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi. Bapa kanak-kanak itu kemudiannya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gong Medang dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Rozak, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, proses bedah siasat masih dijalankan untuk mengenal pasti kecederaan dialami mangsa.

Dalam pada itu, Rozak menasihati ibu bapa supaya lebih berhati-hati serta peka semasa memandu di kawasan kediaman terutamanya yang mempunyai anak kecil.

Selain itu, mereka perlu sentiasa mengawasi anak-anak untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain