KECOH di media sosial video menunjukkan satu pasangan dipercayai kekasih, didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam kereta Axia. Namun, apa yang mengejutkan kejadian itu dikatakan berlaku di kawasan masjid. Kejadian itu tular sejak petang Khamis menerusi video berdurasi 27 saat yang mana ia dirakam dari luar kereta ketika hujan lebat. "Woi turun tingkap kau. 'Beromen' dalam kawasan masjid," kedengaran suara perakam menyergah pasangan kekasih itu yang kemudian bergegas beredar dari kawasan parkir. Tidak dinyatakan bila insiden berlaku, namun difahamkan lokasinya di sebuah masjid di Kuala Lumpur. Rakaman tersebut mendapat pelbagai kritikan dan kecaman apatah lagi perbuatan tidak senonoh itu dilakukan di kawasan masjid. Susulan penularan video itu, seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai anak kepada pemilik kereta Axia itu tampil memberi penjelasan berhubung perkara sebenar. Menurut satu hantaran di Facebook, lelaki itu mengaku muncul untuk membersihkan nama keluarganya. "Axia (nombor plat) XXX XXXX adalah kereta milik ayah saya, seorang pesara guru dan kini imam surau. Nama ayah saya telah ditularkan bersama alamat rumah kami. "Kereta Axia itu digunakan oleh adik bongsu saya yang sedang belajar di Kuala Lumpur. Adik lelaki saya merupakan lepasan tahfiz, dan di sana beliau juga menjadi imam dan guru mengaji. "Kami insyaAllah datang dari keluarga yang baik, bukan pembuat maksiat sebagaimana ditularkan," katanya. Pasangan yang menaiki Axia bergegas meninggalkan kawasan parkir selepas disergah perakam. Mengulas lanjut, dia mendakwa rakan adiknya telah meminjam kereta Axia tersebut beberapa hari lepas dengan tujuan untuk menghantar rakan lain ke klinik. Menurutnya, kejadian dan rakaman tersebut berlaku selepas mereka ke klinik, dan pelaku di dalam kereta itu adalah rakan adiknya. "Bukan adik saya, apatah lagi ayah saya sebagai pemilik kereta," tegasnya sambil menambah kereta Axia tersebut adalah kegunaan keluarga. Tambahnya lagi, dia juga akan bertemu rakan adiknya dan dimaklumkan pelaku juga telah ke masjid untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan perakam video dan pihak berkaitan. "Jika kes ini dipanjangkan ke pejabat agama atau apa-apa, ia bukan lagi menjadi tanggungjawab kami. Saya hanya ingin membersihkan nama ayah saya yang telah ditularkan dan dilemparkan kata-kata kesat. "Saya berharap pesalah itu insaf dan mengambil pengajaran atas keterlanjuran dan kekalahan kepada godaan syaitan. Moga Allah pelihara maruah kita semua," katanya. Akibat kejadian yang tular juga, dia kesal kerana adiknya telah dituduh dan ditularkan sebagai kaki maksiat tanpa sebab. "Adik bongsu saya terpaksa 'rehatkan' kereta tu kerana sudah ada ancaman. Dia dalam minggu study week nak ambil peperiksaan," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube