TIADA siapa yang pernah bersedia untuk kehilangan ahli keluarga, apatah lagi jika ia melibatkan kematian ibu bapa tercinta. Di TikTok, seorang wanita dikenali sebagai Anis Shahrol Nizam tular apabila dia berkongsi foto jenazah bapanya. Lebih menyedihkan, Anis dah ahli keluarganya dilihat tidur di sekeliling jenazah yang terbujur kaku dilitupi kain putih. "Aku tahu setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Tapi aku tidak tahu perasaan kehilangan seseorang buat selama-lamanya... rasa sakitnya begini. "Rindu yang tiada penghujung. Semoga kita berjumpa di syurga nanti. Ayahku, Al-Fatihah," tulis Anis pada kapsyen. Pada foto itu, turut tertera ayat "gambar terakhir keluarga kami" disusuli emoji hati berwarna putih. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu meninggal 30 minit selepas nikah, pengantin tabah urus jenazah! Sempat curi masa ke dewan demi hargai tetamu Menurut Anis, dia sekeluarga turut membaca surah Yassin untuk arwah dan foto tular itu dirakam oleh ibu saudaranya. "Abang dan mak saya ada kat tepi tengah baca Yassin, yang ambilkan gambar ni makcik saya. Buat kenangan terakhir tidur dengan arwah ayah saya," ujar Anis. Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen menyampaikan ucapan takziah dan turut berkongsi kisah masing-masing yang berdepan pengalaman serupa. "Allahu, masa ibu meninggal, aku tertidur dekat sebelah ibu macam ni. Sedar-sedar orang tengah baca Yassin untuk ibu. "Selama ini kita takut dengar pasal mayat. Tapi apabila ayah atau mak kita meninggal, jenazah di rumah pada malam terakhir, waktu tu hilang rasa takut... sebak. "Mak abah meninggal dulu pun aku peluk jenazah mereka kat ruang tamu. Pelukan terakhir sebab lepas tu tak ada peluang jumpa dia lagi dah," tulis netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube