KEPUTUSAN platform media sosial X yang secara rasmi membenarkan penggunanya memuat naik kandungan lucah sememangnya mendapat tentangan ramai. Selepas kekecohan tentang perubahan dasar X itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut menyatakan pendirian bahawa ia bertentangan dengan undang-undang Malaysia. Jelasnya kerajaan akan menyuarakan pandangan tegas mengenai dasar negara kepada penyedia platform media sosial yang dimiliki oleh Elon Musk itu. "Insya-Allah, kita akan panjangkan pandangan tegas kerajaan, dasar negara kita kepada pihak X," ujarnya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: Elon Musk buat perubahan selepas beli Twitter, secara rasmi benarkan ‘content’ lucah di platform X Tambah Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, pendirian kerajaan berhubung perkara itu bukan hanya untuk platform X, malah turut merangkumi laman sosial yang lain. "Saya percaya (Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Datuk Mohd Ali (Hanafiah Mohd Yunus) akan sampaikan untuk pastikan semua platform faham bahawa beberapa perkara termasuk judi dalam talian, bahan lucah dan juga perkara yang tidak dibenarkan berdasarkan undang-undang negara kita dipatuhi platform-platform ini termasuk yang sedang berlaku di X," katanya lagi. Pada Selasa, mStar melaporkan aplikasi X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter secara rasmi membenarkan penggunanya memuat naik kandungan dewasa. Perubahan dasar itu membolehkan pekerja seks dan pelakon filem lucah mengenakan bayaran langganan untuk kandungan mereka, sama seperti platform OnlyFans. Malah, pengguna juga boleh mengedar dan menggunakan bahan berunsur seksual selagi ia mendapat persetujuan pihak terlibat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube