suria

Gempar 27 influencer ditahan, promosi judi haram dalam talian

Pempengaruh media sosial ditahan, didakwa mempromosi laman kegiatan judi haram dalam talian.

SERAMAI 27 pempengaruh media sosial ditahan pada Khamis, kerana didakwa mempromosikan laman kegiatan judi haram dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pempengaruh yang ditahan terdiri daripada 23 wanita dan empat lelaki, berusia antara 21 dan 35 tahun.

Kesemua mereka ditahan dalam serbuan serentak di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, pada Khamis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket 'membayar' kepada pempengaruh tersebut berdasarkan jumlah pengikut di akaun media sosial masing-masing.

"Setiap pempengaruh dibayar antara RM1,500 hingga RM8,000 di satu platform media sosial, bergantung jumlah pengikut mereka di media sosial.

"Siasatan mendapati setiap pempengaruh terbabit aktif sekurang-kurangnya di dua platform media sosial," katanya pada sidang media di Bukit Aman di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Mohd Shuhaily berkata, sejumlah 30 telefon bimbit milik semua suspek dirampas dalam operasi itu untuk siasatan lanjut.

"Selain menjual produk-produk mereka seperti produk kecantikan, pempengaruh ini juga mempromosi laman kegiatan judi dalam talian.

"Semua pempengaruh dipercayai dibayar oleh beberapa sindiket judi berlainan sejak lebih setahun lalu," katanya.

Menurut beliau, pihak polis menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sindiket judi yang menjadi dalang utama dalam kes tersebut.

"Kita masih teruskan siasatan mengikut Seksyen (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain