DIKEMASKINI PENGUNJUNG di Genting Highlands digemparkan dengan kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan berdekatan taman tema outdoor, pada petang Jumaat. Tular video dan gambar di media sosial menunjukkan kebakaran tersebut. Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, kebakaran berlaku di tingkat dua bangunan itu pada pukul 4.55 petang dan merebak ke tingkat empat. Seramai 21 anggota dikerahkan dari balai bomba di Genting, Bentong dan Janda Baik ke lokasi kejadian. "Jentera bomba tiba kira-kira pukul 5.01 petang. Anggota bomba menggunakan dua hos 200 kaki dan dua pili bomba untuk memadamkan api dalam operasi yang dijalankan," kata jurucakap itu. Kebakaran yang berlaku mencetuskan suasana panik. Foto Facebook Dalam pada itu, Resorts World Genting dalam kenyataan berkata, kebakaran dilaporkan bermula pada pukul 4.30 petang dan hanya membabitkan bangunan SkyAvenue. Menurut kenyataan itu, semua kawasan lain tidak terjejas. "Pemindahan dilakukan serta-merta bagi memastikan orang awam terhindar bahaya. "Pasukan bomba kami bertindak segera untuk memadamkan kebakaran. Kami terus memantau keadaan dan akan memberikan kemas kini semasa berkaitan kejadian itu," katanya. Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Penguasa Bomba Kanan I Ismail Abdul Ghani dilaporkan berkata, kebakaran tidak membabitkan mangsa. Menurutnya, pasukan bomba yang berada di lokasi sudah berjaya mengawal api daripada terus merebak dan sedang meneruskan kerja memadam sisa kebakaran. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube