suria

Kes Zayn Rayyan: Adik ditempatkan di Institusi Kebajikan

Adik kepada Zayn Rayyan (gambar) kini ditempatkan di Institusi Kebajikan.

ADIK kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin akan ditempatkan di Institusi Kebajikan selama dua bulan, menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim.

Perkembangan terkini itu susulan JKM mendapat Perintah Jagaan Sementara mengikut Seksyen 25(2), Akta Kanak-kanak 2001 dari Mahkamah Majistret Shah Alam, pada Jumaat.

Tambah Azmir lagi, kanak-kanak itu akan ditempatkan di Institusi Kebajikan bagi tempoh dua bulan sementara penyediaan laporan siasatan Orang Yang Layak dan Sesuai lengkap.

"JKM akan menentukan dalam siasatan nanti sama ada Orang Yang Layak dan Sesuai untuk menjaga selepas selesai siasatan," katanya dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: JKM ambil adik Zayn Rayyan selepas ibu bapa dibebaskan

ARTIKEL BERKAITAN: Abai tapi bukan dera... Peguam perjelas skop pertuduhan ibu bapa Zayn Rayyan

Terdahulu, adik kepada Zayn Rayyan kini tidak tinggal bersama kedua ibu bapanya.

Sebaliknya, kanak-kanak itu berada dalam jagaan JKM Selangor.

Pada Khamis, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak itu, tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama pada Khamis.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 setiap seorang.

Untuk rekod, Zayn dilaporkan hilang di kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember 2023 sebelum dia ditemukan mati dibunuh pada keesokan harinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain