suria

JKM ambil adik Zayn Rayyan selepas ibu bapa dibebaskan

Adik kepada Zayn Rayyan kini berada dalam jagaan JKM.

ADIK kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mati dibunuh pada Disember lalu kini tidak tinggal bersama kedua ibu bapanya.

Sebaliknya, kanak-kanak itu berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Difahamkan, JKM Selangor hadir ke kediaman keluarga ibu bapa Zayn di Puncak Bestari sebelum kanak-kanak itu dibawa ke hospital.

Menurut Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim, terdapat keperluan yang menyebabkan JKM bertindak mengambil kanak-kanak berkenaan.

"Bagaimanapun kita bawa dia ke hospital untuk tujuan pemeriksaan dahulu. Selesai laporan nanti baru kita tentukan macam mana tindakan akan diambil," katanya dipetik sebagai berkata dalam Harian Metro pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Zayn Rayyan: Adik ditempatkan di Institusi Kebajikan

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tunggang’ kes Zayn Rayyan untuk promosi bisnes makanan, video wanita tak sensitif lesap selepas dikecam

Terdahulu, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak itu, tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama pada Khamis.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 setiap seorang.

Untuk rekod, Zayn dilaporkan hilang di kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember 2023 sebelum dia ditemukan mati dibunuh pada keesokan harinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain