suria

Ibu bapa Zayn Rayyan dibenar ikat jamin RM10,000 seorang, boleh sambut Aidiladha di rumah

Ibu bapa Zayn Rayyan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang. -Foto FAIHAN GHANI

IBU bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dibenarkan bebas dengan jaminan RM10,000 seorang, selain beberapa syarat tambahan.

"Mereka dalam proses buat bayaran (jamin). Keluarga sedang uruskan, Insya-Allah jika semuanya lancar, hari ini mereka boleh dibebaskan. Alhamdulillah.

"Mereka gembira, puas hati dengan siasatan PDRM. Sama seperti orang ramai mahukan, mereka juga mahu keadilan buat Zayn Rayyan," ujar peguam Mahmud Abdul Jumaat pada Khamis.

Seorang lagi peguam pasangan itu, Fahmi Abd Moin, menjelaskan mereka perlu melapor diri di balai polis berdekatan rumah pada setiap 1 haribulan.

Antara syarat lain, pasangan itu tidak dibenarkan menganggu saksi-saksi sehingga kes berkenaan selesai.

ARTIKEL BERKAITAN: Abai tapi bukan dera... Peguam perjelas skop pertuduhan ibu bapa Zayn Rayyan

Dalam pada itu, Fahmi berkata pihaknya turut memohon perintah halangan daripada pihak mahkamah agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu kes itu.

"Kami juga memohon perintah halangan supaya tak ada apa-apa komen, posting atau kenyataan yang dibuat masyarakat luar mengenai kes ini yang boleh menganggu perbicaraan kelak.

"Selepas mendengar hujahan, pihak mahkamah setuju untuk beri gag order, tapi kepada pihak yang terlibat dalam perbicaraan iaitu kami (peguam), keluarga dan pihak pendakwaan sahaja," ujarnya.

Sementara itu tambah Mahmud, ibu bapa Zayn Rayyan juga sedang mendapatkan rawatan psikologi selepas berdepan kematian anak mereka.

"Sudah tentu mana-mana individu yang hilang ahli keluarga akan depresi. Mereka sedang dapatkan rawatan psikologi," ujarnya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

Terdahulu, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain