suria

“Mereka bekerja siang malam” - Pengarah JSJ puji anak buah, berhempas-pulas siasat kes Zayn Rayyan

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memuji kecekalan anak buahnya dalam menyiasat kes Zayn Rayyan.

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin menunjukkan perkembangan yang merumitkan.

"Kita semakin hampir ke garisan penamat tapi masih jauh perjalanan perlu ditempuhi," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk mendakwa ibu bapa kanak-kanak yang maut itu dengan kecuaian dan bukannya membunuh.

Menurutnya pertuduhan tersebut diputuskan selepas perbincangan diadakan antara polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Meskipun begitu, Shuhaily dalam satu sidang media di Bukit Aman pada Khamis memuji pencapaian anak buahnya kerana mampu meneruskan siasatan kes Zayn Rayyan dengan penuh ketabahan dan bermaruah.

"Mereka bekerja siang dan malam untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Mereka harus diberikan pujian kerana kekal komited menggalas amanah dalam tempoh yang lama,” katanya.

Terdahulu pada 31 Mei, ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di Puncak Alam kira-kira pukul 11 pagi dan direman selama 13 hari bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bagaimanapun menerusi prosiding pada pagi Khamis, pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu.

Susulan itu Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 setiap seorang.

Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang di Damansara Damai dan mayatnya ditemukan berhampiran sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Pangsapuri Idaman pada keesokan harinya.

Bedah siasat mendedahkan kecederaan di leher dan badannya, membawa kepada kesimpulan bahawa Zayn Rayyan telah dibunuh. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain