suria

Abai tapi bukan dera... Peguam perjelas skop pertuduhan ibu bapa Zayn Rayyan

Peguam Fahmi Abd Moin (tengah) bersama Mahmud Abdul Jumaat (kanan) dalam sidang media pada Khamis.

PENDAKWAAN ke atas ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin langsung tidak menyebut tentang penderaan terhadap kanak-kanak autsime itu.

Sebaliknya kata peguam Fahmi Abd Moin, pasangan itu hanya didakwa atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak.

"Dalam pertuduhan tak sebut tentang penderaan, tapi pengabaian. Ia (pengabaian) merupakan terma yang luas. Dalam pertuduhan hanya pengabaian, bukan penderaan," ujarnya.

Dia berkata demikian dalam sidang media bersama seorang lagi peguam, Mahmud Abdul Jumaat di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada Khamis.

Dalam pada itu Fahmi berkata sebutan semula kes akan berlangsung pada 26 Julai.

"Sebutan ditetapkan 26 Julai 2024 bagi tujuan pihak pendakwaan serah dokumen pendakwaan kes ini dan kami akan hadir bersama anak guam.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan Seksyen 302 kerana membunuh... Ibu bapa Zayn Rayyan dituduh abai anak

"Kami juga tak dapat apa-apa bukti lagi setakat ini. Hanya dapat kertas pendakwaan saja. Lepas 26 Julai nanti baru dapat," ujarnya.

Terdahulu, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu.

Susulan itu Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 setiap seorang.

Pertuduhan terhadap Zaim dan Ismanira dibuat selepas tempoh reman selama 13 hari berakhir pada Khamis.

Pendakwaan itu dibuat susulan kes kematian anak mereka, Zayn Rayyan pada 6 Disember tahun lalu.

Kanak-kanak itu ditemukan meninggal dunia sehari selepas dilaporkan hilang di kediaman mereka di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Laporan bedah siasat yang dikeluarkan pada 7 Disember mengesahkan kanak-kanak itu mati dibunuh kerana terdapat kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Pasangan itu pula ditahan pada 31 Jun sebelum direman esoknya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain