suria

Penghantar makanan maut selepas beri laluan kepada ambulans

Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan dialami

GARA-GARA memberi laluan kepada ambulans, seorang pekerja penghantar makanan maut selepas dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Melaka.

Mangsa, Hilmi Saleh, 31, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan pada pukul 9.50 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal dari arah kanan persimpangan, melintas untuk memberi laluan kepada ambulans dari arah sama.

Katanya, turut sama memberi laluan kepada ambulans itu adalah kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 65 tahun.

Bagaimanapun, katanya, sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu wanita berusia 50 tahun dari arah Ayer Keroh menghala pusat bandar bergerak ketika lampu bertukar hijau dan tidak sempat mengelak mangsa dan Proton Wira.

Tambah Christopher, pelanggaran itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi manakala pemandu Proton Wira cedera ringan.

Katanya lagi, pemandu Honda Civic pula cedera di leher serta dirawat di zon kuning Hospital Melaka.

Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain