suria

Dua pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah simpan barang kemas Kieda Crepe, lepas dengan ikat jamin RM18,000 seorang

Dua pasangan berkenaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan merompak barang kemas Kieda Crepe.

DUA pasangan suami isteri termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas pertuduhan menyimpan harta rompak iaitu barang kemas seberat 247.65 gram (g) milik pempengaruh media sosial Siti Nur Khalieda Yusra Mohd Jais atau Kieda Crepe, April lalu.

Tertuduh, Muhammad Ezwan Syafiq Joha, 27, Nurul Hidayah Mahat, 24, Endang Nur Nabila Suriana Mahat, 22, dan Muhammad Affizan Abdullah, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibuat ke atas mereka di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan minta dibicarakan

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama dengan niat curang menyimpan harta iaitu seutas gelang tangan, seutas rantai leher gantung, seutas rantai tangan dan seutas rantai leher yang keseluruhannya seberat 247.65g kepunyaan usahawan Kieda Crepe melalui hasil rompakan berkumpulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Aman, Kepala Batas, Pulau Pinang pukul 9 malam pada 25 April lepas.

ARTIKEL BERKAITAN: 4 suspek pecah rumah Kieda bakal didakwa! Polis lengkap kertas siasatan, dapatkan semula resit pajak gadai RM400,000

Bagi kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali, manakala keempat-empat tertuduh diwakili Peguam Ranjit Singh Sandhu.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, bagaimanapun peguam tertuduh memohon agar mahkamah membenarkan ikat jamin dengan alasan anak guamnya iaitu tertuduh wanita yang juga adik-beradik mempunyai masalah kencing manis kronik selain salah seorang daripadanya mempunyai dua anak yang masih kecil.

Manakala tertuduh lelaki iaitu Muhammad Ezawan mempunyai pendapatan RM1,200 sebagai peniaga manakala Muhammad Affizan mempunyai pendapatan RM1,500 sebagai pekerja landskap sambilan.

Susulan itu, Hakim Noor Aini kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM18,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Syarat tambahan juga dikenakan iaitu kesemua tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sekiranya ada, dan mereka tidak dibenarkan membuat permohonan pasport antarabangsa serta perlu melapor diri ke balai polis berhampiran kediaman mereka pada 1 dan 15 haribulan setiap bulan.

Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain