suria

Serang Balai Polis Ulu Tiram: 5 ahli keluarga suspek didakwa terbabit ideologi IS, bapa berdepan 4 pertuduhan

Ahli keluarga berdepan sembilan pertuduhan di Mahkamah Seksyen Johor Bahru pada Rabu.

LIMA ahli keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor berdepan sembilan pertuduhan secara berasingan, susulan kejadian pada 17 Mei lalu.

Kelima-lima mereka didakwa di Mahkamah Seksyen Johor Bahru pada Rabu termasuklah pertuduhan menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan Islamic State (IS).

Tertuduh membabitkan bapa suspek, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, dan ibunya, Rosna Jantan, 59, yang merupakan warga Singapura.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes serang Balai Polis Ulu Tiram: 5 ahli keluarga suspek, 2 pelajar ditahan

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar balai polis diserang lelaki bertopeng! Dua anggota maut, seorang mangsa di zon merah hospital

Selain itu, turut didakwa adalah tiga adik beradik kepada lelaki yang ditembak mati 17 Mei lalu iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19.

Radin Imran berdepan empat pertuduhan termasuk Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Fahaman itu didakwa disemai oleh Radin Imran kepada semua anggota keluarganya termasuklah Radin Luqman, 21, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram; isterinya serta tiga anaknya yang lain.

Anak lelaki sulungnya, Radin Romyullah pula berdepan dua pertuduhan, manakala isteri dan dua anak perempuan Radin Imran pula masing-masing hanya berdepan satu pertuduhan.

Pada 24 Mei lalu, semua lima ahli keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, itu ditahan dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), selepas tempoh reman mereka berakhir pada hari yang sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain