suria

Hafiz Mahamad tepuk dahi terlepas flight London ke KL! Beli tiket baharu RM16,000, percaya nanti dapat rezeki lain

Hafiz menceritakan insiden terlepas penerbangan dari London ke Kuala Lumpur.

USAHAWAN dan pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad 'tepuk dahi' selepas kerugian RM16,000 gara-gara tertinggal pesawat pulang ke Malaysia dari London.

Menurut Hafiz, insiden tersebut berlaku pada hari terakhir ketika dia bercuti bersama isterinya, Syafiqa Aina sebagaimana diceritakan menerusi akaun Insta Story miliknya pada Khamis.

Katanya, dia dan Aina perlu membeli barang dipesan ibunya sebelum berangkat ke lapangan terbang pada hari yang sama.

"Mak saya ada kirim dekat Aina belikan beg. Hari terakhir nak fly (terbang) ke Malaysia rasa serba salah pula kalau tak belikan mama punya barang. Ye la mak minta kan.

"Penerbangan saya pukul 3 petang, jadi pukul 10 pagi macam tu saya pergi cari barang mak saya. Sudah beli barang mak, saya tengok jam sudah menunjukkan pukul 1.30 tengah hari.

"Sempat lagi ni dari Central London pergi ke lapangan terbang mengambil masa satu jam. Sampai je dekat London, si Uber (pemandu e-hailing) buat hal," ujarnya.

Hafiz dan Aina ketika bercuti di London.

Jelasnya yang memiliki 1.4 juta pengikut di Instagram, dia awal-awal lagi sudah membuat kiraan masa, justeru yakin sempat tiba di lapangan terbang selepas membeli barang ibu.

Namun, pemandu kenderaan e-hailing tersebut tersalah membawa mereka ke destinasi yang sepatutnya sehingga mengambil masa 20 minit untuk tiba di terminal.

Ujarnya lagi, mereka terlewat lima minit daripada waktu yang dinyatakan pada tiket dan tidak dibenarkan untuk memasuki pesawat.

Susulan kejadian, Hafiz pasrah lalu membeli tiket baharu pada harga mencecah RM16,000.

"Saya dan Aina sepatutnya naik flight dekat Terminal 4, tapi pemandu tu pergi ke Terminal 2. Nak pergi ke Terminal 4 ambil masa 20 minit.

"Akhirnya saya sampai dekat airport, pukul 3.05 petang. Pukul 3 petang tadi gate (pintu pelepasan) tutup. Bila tanya orang dekat kaunter, dia cakap tak boleh (masuk). Tiket kira burn (hangus).

"Saya tengok harga tiket RM16,000. Tapi saya rasa ada hikmah. Ye la kita belikan barang mak (kirim) kemudian tertinggal flight. Ada rezeki nak datang tu," katanya lagi.

Difahamkan percutian ke London ini merupakan kejutan yang dibuat oleh Hafiz kepada Aina sempena ulang tahun kelahiran isterinya selepas 13 tahun tempoh perkenalan mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain