suria

Dua suspek pecah rumah Khuzaimi Piee ditahan selepas terbabit kemalangan, direman 7 hari

Kediaman Khuzaimi Piee dipecah masuk pada 22 Mei lalu.

POLIS berjaya menyelesaikan kes melibatkan kejadian pecah rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee dengan tertangkapnya dua lelaki tempatan di Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu menghala ke Kuantan dekat Marang, Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua suspek berkenaan dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah melibatkan pemain Selangor FC itu serta beberapa kes lain.

Kedua-dua suspek ditahan selepas terlibat dalam kemalangan di lokasi berkenaan sebelum pihak polis membuat rampasan melibatkan beberapa barangan dipercayai digunakan bagi kegiatan pecah rumah.

"Siasatan turut mendapati kedua-dua suspek sebelum ini turut terlibat dalam kes samun dan pecah rumah di beberapa lokasi lain sekitar Selangor, Terengganu, Pahang dan Melaka.

"Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan selanjutnya di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemain bola terus jadi sasaran... Rumah Khuzaimi Piee pula dipecah masuk, Yamaha Y15ZR lesap

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek angkut Yamaha Y15ZR milik Khuzaimi Piee naik MPV putih

Terdahulu, pada 22 Mei lalu, kediaman Khuzaimi dilaporkan dipecah masuk ketika dia keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor.

Kejadian itu menyebabkan Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, empat buah beg pelbagai jenama serta pasport.

Untuk rekod, pemain Terengganu FC Akhyar Rashid cedera apabila dia diserang dan dirompak pada 3 Mei lalu.

Dua hari kemudian, pemain Selangor, Faisal Halim turut cedera apabila dia disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Pada 8 Mei pula, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim menjadi sasaran apabila keretanya diserang dua lelaki berdekatan Pusat Latihan JDT.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain