suria

Zhi Jie meninggal sebab serangan jantung, PBSI jawab dakwaan lewat masuk gelanggang beri bantuan kecemasan

Zhi Jie meninggal dunia akibat serangan jantung ketika perlawanan. -Foto Badminton Asia

PEMAIN badminton remaja China, Zhang Zhi Jie disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika perlawanan di Kejohanan Badminton Remaja Asia 2024 di Yogyakarta, Indonesia pada Ahad malam.

Zhi Jie mengalami serangan jantung ketika pertemuan menentang Jepun dalam aksi Kumpulan D di GOR Among Raga.

Pemain berusia 17 tahun itu sedang berdepan Kazuma Kawano sebelum rebah dalam keadaan tertiarap di gelanggang.

“Laporan perubatan menunjukkan mangsa mengalami serangan jantung,” kata jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Broto Happy ketika sidang media di Yogyakarta.

Pasukan perubatan kejohanan kemudian memberikan bantuan kecemasan sebelum pemain itu dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, Zhi Jie disahkan meninggal dunia pada pukul 11.20 malam Ahad waktu tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemain badminton China meninggal dunia, rebah di gelanggang ketika menentang Jepun

Jurucakap itu turut mempertahankan tindakan pasukan perubatan dan penganjur selepas rakaman video menunjukkan mereka teragak-agak untuk memberikan bantuan kecemasan sejurus pemain itu rebah di dalam gelanggang.

"Pasukan perubatan perlu menunggu kebenaran daripada pengadil sebelum boleh memasuki gelanggang," katanya.

Zhi Jie mula bermain badminton sejak tadika dan menyertai skuad remaja China, tahun lalu.

Awal tahun ini, dia berjaya menjuarai Kejohanan Remaja Antarabangsa Belanda, kejohanan berprestij bagi peringkat remaja.

Persatuan Badminton China (CBA) sangat berdukacita atas kehilangan pemain berbakat seperti Zhi Jie.

“Zhang Zhi Jie sangat meminati badminton dan adalah pemain terbaik dalam skuad remaja kebangsaan (China),” kata CBA dalam kenyataan itu.

Selain itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) turut menzahirkan rasa sedih atas kehilangan bakat badminton itu yang semakin meningkat naik.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan sepasukannya, Persatuan Badminton China, dan seluruh komuniti badminton China,” katanya dalam satu kenyataan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain